Entry: Divine Secrets of Ya-Ya Sisterhood Thursday, June 23, 2005



 

Tajuk Buku:
Divine Secrets of Ya-Ya Sisterhood
Penulis: Rebecca Wells
Penerbit: HarperTorch
Dibeli Di: Popular, Kota Bharu.

Watak Utama:
1. Siddalee Walker, dan ibunya Vivi Walker.
2. Adik-beradik Ya-Ya; Teensy, Caro dan Necie.

Tentang Apa Buku Ini:
Sepenuhnya tentang perhubungan antara perempuan. Hubungan antara ibu dan anak perempuan, hubungan persahabatan antara empat orang wanita, dan hubungan-hubungan mereka dengan manusia-manusia sekeliling mereka.

Cerita tentang Sidda yang sekian lama cuba memahami ibunya, Vivi, dan kehidupan yang datang bersamanya. Titik salah faham besar bermula bila Sidda buat keterangan akhbar tentang bagaimana hidup peribadi dia jadi inspirasi untuk sebuah teater arahannya. Vivi merasakan Sidda seperti mahu memalukannya sebagai seorang ibu, meledak marah pada Sidda. Dengan penuh kekeliruan, Sidda yang sudah bertunang dengan Connor McGill menangguhkan perkahwinan mereka dan beralih duduk bersendiri di sebuah kampung kecil.

Konflik itu membuka segala ketakutan dan keraguan dalam hidup Sidda, menjadi titik dia berfikir mencari apa yang dia mahu dari hidup. Membuat dia berfikir apa dan kenapa semua perkara yang berlaku singgah dalam hidupnya.

Adik-beradik Ya-Ya; sahabat sehati sejiwa Vivi mengambil langkah menyelamatkan keadaan, mereka rasa sudah tiba masanya Sidda berkongsi cerita mereka lalu menyuruh Vivi menghantar buku koleksi memori yang dinamakan "Divine Secrets of Ya-Ya Sisterhood."

Dari koleksi itu, Sidda peroleh seribu satu cerita. Lebih banyak soalan timbul berbanding jawapan yang dia sangkakan. Jalan seterusnya selepas itu menjadi kunci siapa Sidda sebagai natijahnya dan bagaimana dunia dilihat di hadapannya.

"We're not born all at once, but by bits. The body first, and the spirit
later... Our mothers are racked with the pains of our physical birth; we ourselves suffer the longer pains of our spiritual growth." - Mary Antin
Apa Yang Saya Suka:
Pertama, cerita sahabat-sahabat perempuan Vivi dan adik-beradik Ya-Ya. Saya rasa semua wanita dalam dunia ini ada kumpulan sahabat mereka sendiri. Kawan untuk berbual, bercerita tentang baju, membeli-belah bersama dan untuk sama-sama menangis bila menonton filem. Sahabat perempuan yang boleh beri komen apa yang dipakai itu sesuai atau dapat bersama-sama berjam-jam berjalan di pusat membeli belah mencari sepasang kasut atau sekotak hadiah, tapi dalam masa yang sama boleh juga memberi nasihat apa yang perlu dilakukan dengan hidup atau memberi sebab dengan tepat kenapa perlunya pulang ke rumah kepada ibu bapa.

Kedua, bagaimana buku ini mempotretkan ibu sebagai sahabat terbaik untuk seorang anak perempuan. Dalam kepala kita sudah ada macam satu garis pandu bagaimana seorang ibu yang baik sepatutnya. Cerita Sidda dan Vivi mewakili semua anak perempuan dan ibu dalam dunia dan segala macam konflik mereka kecil atau besar. Sebagai salah seorang dari mereka ini, saya sangat berbesar hati membaca bagaimana cerita ini dirumuskan.

Akhir sekali, saya suka buku ini kerana macam kehidupan kita yang versinya lebih panjang dan melelahkan; ia adalah panduan kecil tentang hidup membesar, kedua-dua secara fizikal atau spiritual. Semua orang melalui satu bahagian di dalam hidup untuk cuba memahami hidup mereka, kenapa begini dan bagaimana boleh jadi begitu. Tetapi adakalanya kita harus berhenti bertanya soalan, mengambil apa yang ada di hadapan dan terus saja melangkah.

"It's life, Sidda. You don't figure it out. You just climb up on the beast and ride."
Apa Yang Saya Tidak Suka:
Dari segi isi-isinya, tidak ada. Cuma bagi saya perkembangan buku ini agak perlahan dan memenatkan. Kalau tidak ada daya, saya rasa ramai orang akan berhenti separuh jalan membaca buku ini.

Kalau Anda Suka Buku Ini, Anda Mungkin Suka Buku-Buku Lain:
1. PS, I Love You oleh Cecelia Ahern.
2. The Jane Austen Book Club oleh Karen Joy Fowler.
3. Little Women oleh Louisa May Alcott.

   1 comments

malaysia web design
July 2, 2009   09:21 AM PDT
 
memang best la koleksi tu

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments